Tarbiyah

Jangan cari, dedah aib orang

Bayangkan jika dosa kita didedah, pasti kita tak sanggup berjalan di atas muka bumi ini

1. RASULULLAH ﷺ menegur sikap sebahagian manusia yang suka melihat aib orang lain. Mereka suka mengutuk, mendedahkan aib orang lain sehingga terlupa tentang dirinya sendiri. Sabda Rasulullah:

يُبْصِرُ أَحَدُكُمْ القذَى فِي عَيْنِ أَخِيْهِ وَيَنْسَى الْجِذْعَ فِيْ عَيْنِهِ

“Salah seorang dari kamu mampu untuk melihat kotoran kecil yang menempel di kelopak mata temannya, tapi lupa dengan batang kayu besar yang menutupi matanya sendiri” (HR Ibn Hibban, Ibn al-Mubarak dan al-Quda’i)

2. Melalui hadis ini Rasulullah memberikan kita bimbingan agar sentiasa memperbaiki diri dan tidak terlalu sibuk bercakap tentang keaiban orang lain. Mereka seronok bersembang mengenai keaiban manusia sehingga terlupa akan kekurangan dirinya sendiri.

3. Tanggungjawab amar makruf dan nahi mungkar datang apabila kejahatan itu terpamer secara zahir selain membantu orang yang dizalimi. Kita tidak seharusnya bersungguh-sungguh mencari kesalahan orang yang Allah sendiri sembunyikan dari kita.

4. Ketahuilah bahawa Allah memuliakan kita dengan menutup banyak keaiban dan kejahatan kita. Bayangkan sekiranya segala dosa dan kesalahan yang kita lakukan didedahkan pasti kita itu tidak sanggup untuk berjalan diatas muka bumi ini.

5. Ia adalah salah nikmat yang wajib disyukuri oleh setiap insan. Seorang lelaki bertanya kepada seorang Abu Tamimah: Bagaimana keadaan kamu pada pagi ini? Jawab Abu Tamimah:

“أصبحت بين نعمتين, لا أدري أيَّتهُمَا أفضل: ذنوبٌ سترها الله -عز وجل-, فلا يستطيع أن يعيرني بها أحدٌ؛ ومودةٌ قذفها الله -عز وجل- في قلب العباد, لم يبلغها عملي”.

“Aku berpagi dalam dua nikmat yang tidak aku ketahui manakah yang lebih baik iaitu: Nikmat Allah menyembunyikan dosaku sehingga tiada seorang pun yang boleh mengaibkan diriku atau nikmat rasa kasih yang Allah campakkan ke dalam hati manusia, sesuatu yang aku tidak mampu memperolehinya melalui amalanku.”

6. Oleh yang demikian, jangan kita terlalu ghairah menceritakan dan mendedahkan keaiban orang lain sehingga terlupa tentang diri kita sendiri. Tidak mengapa untuk memperbetulkan kesilapan orang lain dan membantu orang yang dizalimi tetapi tegurlah dengan adab dan berakhlak. Bukan mengeji dan mencaci dengan lafaz yang tidak memperbaiki.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button