Berita Utama

Penguatkuasaan terhadap penceroboh tanah agak terhad, seolah-olah kurang berkesan

Ada kakitangan kerajaan dan ahli politik licik ambil rasuah

BANGI, 17 Zulhijjah 1442H, Selasa – Kerajaan disyor mengkaji semula peruntukan undang-undang berkaitan kegiatan pencerobohan tanah sedia ada, supaya selaras dengan perkembangan siber dan teknologi semasa.

Cadangan itu termasuk tindakan penguatkuasan dan remedi supaya selari keperluan semasa, kata Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA), Prof Dr Ismail Omar.

Beliau berkata, mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 menyatakan maksud pencerobohan tanah dengan jelas.

Begitu juga peruntukan Sekysen 16 Akta Perhutanan Negara 1904, Akta Taman Negara 1980, Enakmen Taman Negara Pahang 1939, Enakmen Taman Negara Kelantan 1939 dan Enakmen Taman Negara Terengganu 1980.

“Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 memperuntukkan kesalahan menjalankan kegiatan memajukan tanah tanpa kebenaran.

“Pencerobohan tanah juga berlaku bagi tanah Kementerian Pertahanan (MINDEF), selain peruntukan Seksyen 62 Kanun Tanah Negara dan Rizab Tanah Kerajaan Persekutuan, Klausa 66 Rizab Tanah di bawah Perlembagaan Persekutuan serta di bawah Akta Pergerakan Ketenteraan 1983,” katanya.

Menulis di Berita Harian hari ini, Dr Ismail berkata, walaupun terdapat banyak perundangan berkaitan pencerobohan, tindakan penguatkuasaan diambil pihak berkuasa agak terhad dan mengambil masa lama.

Penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 yang memperuntukkan denda RM500,000 dan penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, disifatkan seolah-olah kurang berkesan, katanya. 

“Buktinya, kegiatan menceroboh tanah di Cameron Highlands dan di tempat lain terus berleluasa. Begitu juga tindakan pengusiran dan remedi tanah kerajaan di Raub yang ditanam durian Musang King secara tidak sah, baru-baru ini.

“Tindakan diambil kerajaan Pahang di bawah Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984, hanya sekadar denda RM10,000 atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Malangnya, mahkamah menolak dakwaan kes pencerobohan ini atas alasan tiada locus standi,” katanya.

Dari sudut lain, beliau yang juga Pesyarah Hartanah di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia berkata, tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa membabitkan kakitangan kurang terlatih, peralatan serba kekurangan dan masa terhad dibandingkan penceroboh yang licik serta lengkap peralatan canggih.

“Penguatkuasaan juga memerlukan bantuan daripada agensi lain berkaitan seperti polis dan marin.

“Penceroboh juga mempunyai peralatan canggih seperti traktor dan jentolak berkuasa tinggi untuk melakukan pembalakan haram. Lebih malang, ada kakitangan kerajaan dan ahli politik licik serta mengambil rasuah,” katanya

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button