Berita Utama

Kes Zahid: Hormat keputusan mahkamah walau kita tak gembira

Tetap berharap Pendakwa Raya fail rayuan ke Mahkamah Rayuan

BANGI, 26 Safar 1444H, Jumaat – Semua pihak perlu menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Terdahulu, Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid, 69, di akhir kes pendakwaan.

Mengulas perkara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, rakyat perlu bersangka baik terhadap Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Zahid kerana beliau melaksanakan tugasnya mengikut undang-undang.

“Apabila Najib Razak dan Rosmah Mansor didapati bersalah dan dihukum penjara oleh mahkamah, maka kita menganggap mahkamah adil dan bebas dalam membuat keputusan itu dan menyeru supaya semua orang menghormatinya.

“Jadi begitulah sepatutnya apabila Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Ahmad Zahid dari 40 pertuduhan rasuah. 

“Walaupun kita antirasuah dan tidak gembira dengan keputusan ke atas Ahmad Zahid, tetapi kita perlu hormati keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Walau bagaimanapun, Hassan berkata, ramai pihak tetap berharap Pendakwa Raya akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan Malaysia. 

“Kita menerima penjelasan Peguam Negara bahawa penghakiman kes Ahmad Zahid di Mahkamah Tinggi Shah Alam itu perlu diteliti dan dikaji sebelum rayuan ke Mahkamah Rayuan Malaysia difailkan.

“Saya berharap, sekiranya Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam belum lagi membentangkan alasan penghakimannya kepada umum mengapa Ahmad Zahid dibebaskan.

“Maka adalah wajar alasan penghakiman tersebut diterbitkan kepada umum untuk dibaca oleh orang ramai,” tegasnya.

Beliau menjelaskan, tuntutan itu dibuat atas dua sebab. 

“Pertama kes Ahmad Zahid yang didakwa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 adalah kes kepentingan awam.

“Kedua, jika Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan empat Hakim Mahkamah Persekutuan pada hari yang sama berjaya membentangkan penghakimannnya secara bertulis untuk bacaan orang awam seperti kes Datuk Seri Najib Razak dalam Kes SRC International Sdn Bhd, maka adalah wajar Hakim Mahkamah Tinggi dalam kes Ahmad Zahid ini berbuat perkara yang sama,” katanya.

Ahmad Zahid, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button