Berita Utama

Tak pakai pelitup muka, Tajuddin dikompaun lagi

Ahli Parlimen Pasir Salak langgar SOP ketika di ruang legar Parlimen

BANGI, 17 Zulhijjah 1442H, Selasa – Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Sri Tajuddin Abdul Rahman dikenakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada di ruang legar Parlimen bersama seorang individu lain, semalam.

Kompaun dikeluarkan selepas polis mengesan satu gambar dimuat naik seorang pengguna Twitter memaparkan Tajuddin tidak memakai pelitup muka.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, satu notis kompaun telah dikeluarkan terhadap beliau pada jam 1 tengah hari susulan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati Tajuddin telah menghadiri Sidang Mesyuarat Khas Ahli Dewan Rakyat pada 26 Julai 2021.

“Pada hari yang sama, lebih kurang jam 2.30 petang, beliau didapati tidak memakai pelitup muka sewaktu sedang bersama dengan seorang individu lain di ruang legar Parlimen.

“Atas pelanggaran SOP tersebut maka satu notis kompaun telah dikeluarkan terhadap beliau pada hari ini (Selasa) jam 1 petang,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan itu, Eng Lai menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP PKP dengan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di tempat awam dalam usaha memutuskan penularan jangkitan pandemik COVID-19.

Sebelum ini, Tajuddin yang juga bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dikenakan kompaun RM1,500 atas kesalahan memakai pelindung muka tanpa memakai pelitup muka ketika mengadakan sidang media.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button