Berita Utama

Tak sokong PN, Ku Li minta pindah kerusi ke blok Bebas

Veteran UMNO tak mahu terus bersama ahli Dewan Rakyat kerajaan

BANGI, 17 Zulhijjah 1442H, Selasa – Atas dasar tidak mahu dianggap menyokong ‘kerajaan gagal’, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah meminta kerusi tempat duduk beliau dalam sidang khas Dewan Rakyat diletakkan di blok Bebas.

Permohonan tempat duduk itu diminta Tengku Razaleigh menerusi sepucuk surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bertarikh 26 Julai 2021.

Menerusi surat berkenaan, veteran politik itu menyatakan tidak pernah menyokong atau bersama-sama dengan kerajaan yang ditubuh menggunakan nama kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bahkan, beliau juga menyatakan tidak ingin terus berada di kerusi yang disediakan untuk beliau bersama kumpulan ahli Dewan Rakyat kerajaan seolah-olah menjadi penyokong kerajaan yang ada.

“Dengan pemakluman ini, saya mohon mendapat persetujuan dan kerjasama Yang Dipertua memindahkan tempat duduk saya ke suatu kerusi dalam Dewan Rakyat berhampiran dengan blok Bebas yang tidak menyokong kerajaan sekarang ini.

“Dari awal lagi saya tidak pernah menyokong atau bersama-sama dengan kerajaan yang ditubuh mengguna nama kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya seperti dilapor media tempatan.

Selain itu, Tengku Razaleigh berkata, beliau juga belum mengetahui sama ada ahli Dewan Rakyat yang lain daripada partinya, UMNO telah berurusan dengan Azhar mengenai tempat duduk mereka dalam Dewan Rakyat.

“Walau apapun yang dilakukan mereka, saya mohon berpindah ke tempat lain yang sewajarnya, bersesuaian dengan semangat perjuangan Barisan Nasional (BN) dan UMNO terutama sekali pengundi saya, ahli-ahli UMNO dan rakyat Malaysia supaya sedikit pun tidak boleh dianggap sebagai penyokong kerajaan gagal ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button