Berita Utama

4 lagi kes positif COVID-19 dikesan di Parlimen

Tempoh berbahas persidangan dihadkan hingga 5.30 petang

BANGI, 18 Zulhijjah 1442H, Rabu – Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan empat lagi kes positif COVID-19 melibatkan kawasan Parlimen dikesan.

Atas sebab itu beliau menetapkan tempoh berbahas pada persidangan Parlimen hanya sehingga jam 5.30 petang.

Azhar memaklumkan, lanjutan masa itu juga sebenarnya jauh melebihi apa yang dicadangkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah iaitu bersidang sehingga jam 2 petang.

“Kalau nak ikut nasihat beliau, kita sidang sehingga pukul 2 petang sahaja. Sebab beliau amat gusar dan bimbang.

“Semalam (Selasa) dan hari ini (Rabu) sahaja, sudah ada empat kes. Jadi risikonya agak tinggi. Sebab itu, saya tetapkan sehingga jam 5.30 petang untuk memberikan peluang kepada semua berbahas,” katanya pada Sidang Khas Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH – Hang Tuah Jaya) yang mengusulkan supaya masa perbahasan dilanjutkan bagi memberi peluang kepada Ahli Parlimen berbahas.

Bagaimanapun, Azhar berkata, ia terpulang kepada menteri bertanggungjawab untuk mempertimbangkan perkara itu.

Sebelum ini, dua Ahli Parlimen dikesan positif COVID-19, iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk – BN) dan Datuk Dr Mansor Othman (Nibong Tebal – Bersatu).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button