Berita Utama

Individu tak terus kebal COVID-19 lepas terima vaksin

Mereka ada masalah sistem imun mungkin tak sesuai ambil vaksin

BANGI, 17 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Di sebalik keterujaan vaksin COVID-19 yang bakal dibekalkan di negara ini, keutamaan tetap perlu ditekankan terhadap kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Justeru, pemilihan vaksin COVID-19 yang baik, berkesan dan selamat adalah amat penting.

Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Dr Seri Narti Edayu Sarchio berkata, masyarakat perlu mengetahui bahawa mereka tidak akan terus kebal atau terlindung daripada jangkitan COVID-19 sejurus selepas menerima vaksin.

Jelasnya, sistem imun badan memerlukan tempoh tertentu untuk memproses, seterusnya menghasilkan antibodi diperlukan bagi melindungi mereka daripada potensi jangkitan.

Beliau berkata, tempoh penghasilan antibodi juga subjektif, di mana ia bergantung kepada beberapa faktor termasuk jenis vaksin, tahap kesihatan dan keupayaan tindak balas sistem imun tubuh seseorang.

“Kebiasaannya, individu sihat dan memiliki sistem imun badan baik mengambil masa sekitar beberapa minggu hingga sebulan.

“Ada juga individu memerlukan lebih sekali suntikan bagi memastikan antibodi terhasil kekal pada aras diperlukan,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, individu mempunyai masalah sistem imun mungkin tidak sesuai mengambil vaksin.

Hal ini kerana katanya, penghasilan antibodi memerlukan interaksi antara komponen vaksin disuntik dengan sistem imun berfungsi dengan baik pada tubuh penerima.

“Bagi penerima vaksin pula, amat penting untuk mereka kekal meneruskan amalan norma baharu untuk tempoh tertentu selepas menerima suntikan.

“Pemantauan berkala ke atas penerima vaksin oleh pihak bertanggungjawab juga perlu dilakukan selepas imunisasi COVID-19.

“Ini bagi memastikan penerima berjaya menghasilkan antibodi mencukupi untuk melindungi mereka melawan jangkitan pada masa akan datang,” jelasnya.

Terdahulu, Malaysia akan melihat kepada tahap keberkesanan, kesan sampingan dan kualiti vaksin COVID-19 yang digunakan di United Kingdom (UK) sebelum membuat sebarang keputusan tentang penggunaannya di Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata, sekiranya pada tiga bulan pertama penggunaan vaksin itu di UK memberangsangkan dan kurang dokumentasi mengenai kesan sampingan, ia akan lebih meyakinkan Malaysia untuk menggunakan vaksin berkenaan.

“Apapun kita akan tunggu laporan ujian klinikal fasa tiga yang masih belum kita lihat dan belum dikaji sepenuhnya dan kita perlukan data-data sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Perjanjian kita adalah vaksin tersebut perlu dan mesti didaftarkan kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button