Berita Utama

COVID-19: Kemasukan pesakit di PKRC Kelantan meningkat selepas raya haji

11 PKRC sudah capai penggunaan katil antara 80 hingga 98 peratus

KOTA BHARU, 18 Zulhijjah 1442H, Rabu – Kemasukan pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di negeri ini meningkat sejak beberapa hari lepas, selepas Hari Raya Aidiladha.

Pengarah PKRC Kelantan Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata berikutan itu sebanyak 11 PKRC di seluruh negeri itu telah mencapai kapasiti penggunaan katil antara 80 hingga 98 peratus.

“Secara keseluruhan sehingga kini terdapat sebanyak 2,300 katil di seluruh PKRC dan ada antara PKRC iaitu PKRC Pusat Tarbiah Islam Kelantan di Pengkalan Chepa dan juga PKRC Jubli Perak, Kota Bharu telah mencapai kapasiti penggunaan katil mencecah 98 peratus.

“Malah, pada Jumaat ini juga kita akan membuka semula PKRC Sekolah Menengah Kebangsaan Salor selain kita juga sedang mengenal pasti satu lokasi baharu di luar daerah Kota Bharu untuk dijadikan PKRC,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Unit Pengangkutan COVID-19 di pekarangan Pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Kelantan di sini hari ini.

Semalam Kelantan merekodkan sebanyak 592 kes baharu COVID-19 dengan enam kluster baharu dilaporkan.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Zurairie berkata bagi mengelakkan berlaku kesesakan pesakit di PKRC, pihaknya telah mengambil kaedah untuk discaj pesakit menerusi penilaian klinikal.

Menurut beliau bagi pesakit kategori satu yang tidak mempunyai gejala, mereka akan dipantau sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam sebelum dibenarkan pulang bagi menjalani Perintah Pengasingan di Rumah (HIO) berbanding sebelum ini mereka dikuarantin selama 11 hari di PKRC.

“Bagi pesakit kategori dua dan ke atas yang bebas daripada sebarang gejala pula mereka akan dibenarkan pulang untuk HIO selepas dipantau secara klinikal selama tempoh 48 hingga 72 jam,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kebenaran pesakit untuk melakukan HIO bergantung kepada kriteria rumah yang bersesuaian selain pesakit dan penjaga juga mempunyai akses melalui telefon bagi memudahkan pemantauan.

“Bagi mereka yang dibenarkan pulang untuk menjalani HIO, kita memohon agar berdisiplin ketika berada di rumah dan dengan kenaikan kes COVID-19 di negeri ini sekarang, kita perlukan kerjasama semua pihak,” katanya sambil menambah, golongan berkenaan juga akan didaftarkan di Jabatan Kesihatan Daerah sebagai pesakit HIO. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button