Berita Utama

Doktrin palsu agama Islam: Ibu Yati, 2 individu mengaku tak bersalah

Pengakuan dibuat selepas pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan hakim

SHAH ALAM, 18 Zulhijjah 1442H, Rabu – Tiga individu termasuk bekas wartawan, Wan Norhayati Wan Alias atau lebih dikenali sebagai Ibu Yati mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor hari ini atas pertuduhan menjelaskan doktrin palsu berkaitan agama Islam termasuk melalui Facebook, antara Disember tahun lepas hingga Februari tahun ini.

Ketiga-tiga tertuduh Wan Norhayati, 42, Noorafiza Ahmad, 46, dan Abdul Hamid Yeop Zainnuddin, 60, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee@Shaii.

Wan Norhayati dan Noorafiza masing-masing menghadapi tiga dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995 iaitu menjelaskan doktrin yang bertentangan dengan hukum syarak.

Abdul Hamid pula menghadapi dua pertuduhan di bawah seksyen yang sama serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 9 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995 kerana mempersendakan ayat al-Quran.

Di bawah Seksyen 7 Enakmen tersebut, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga tiga tahun, denda RM5,000 atau enam sebatan atau kombinasi kesemua hukuman itu.

Di bawah Seksyen 9 Enakmen yang sama, sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman denda RM5,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Wan Norhayati dan Noorafiza dituduh melakukan kesemua kesalahan itu pada 2 Disember hingga 2 Februari lepas menggunakan akaun Facebook masing-masing, sementara Abdul Hamid pula kira-kira pukul 9 malam pada 2 Februari di Taman Dato Razali, Kampung Melayu Ampang dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Pendakwa Syarie Zainor Rashid Hassim dan kesemua tertuduh diwakili Peguam Wan Amir Akram Zainal Abidin.

Mahkamah menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM11,000 kepada Wan Norhayati, RM5,000 kepada Noorafiza dan RM9,000 kepada Abdul Hamid dengan masing-masing dua penjamin dan kesemua mereka perlu melapor diri di Pejabat Agama Islam Daerah terdekat serta dilarang memuat naik apa-apa status dalam media sosial.

Kes bagi Wan Norhayati dan Noorafiza akan disebut semula pada 2 November ini manakala Abdul Hamid pada 18 Januari 2022. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button