Berita Utama

Firma guaman syarie boleh mohon beroperasi di CIMS

Operasi tertakluk kepada SOP MKN, negeri dalam fasa PPN

BANGI, 18 Zulhijjah 1442H, Rabu – Peguam syarie di seluruh negara boleh mengemukakan permohonan bagi pengoperasian pejabat atau firma guaman sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, permohonan boleh dibuat melalui sistem Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) – COVID-19 Intelligent Management System (CIMS).

Katanya, permohonan akan diuruskan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi tujuan pertimbangan untuk kelulusan.

Bagaimanapun katanya lagi, pengoperasian tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertarikh 15 Julai lalu.

β€œIa juga tertakluk kepada negeri-negeri yang berada dalam fasa PPN.

“Permohonan boleh dibuat melalui Kluster Perundangan dan Kehakiman Syariah dan Sektor Guaman Syarie yang mempunyai empat subsektor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, empat subsektor berkenaan adalah Khidmat Nasihat Profesional Guaman Syarie, Perkhidmatan Guaman Syariah, Perkhidmatan Khidmat Nasihat dan Peguam Syarie bagi tuntutan Harta Pusaka, Hibah dan Wasiat serta Perkhidmatan Perunding Keluarga Islam.

“Saya mengharapkan peluang ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh semua peguam syarie di seluruh negara dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Suka juga diingatkan adalah menjadi tanggungjawab kita bersama terutama peguam syarie untuk mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan MKN seterusnya dapat mengelakkan berlaku penularan wabak COVID-19 ini semasa pengoperasian pejabat atau firma guaman syarie.

“Gunakanlah pendekatan yang terbaik sebagaimana yang telah ditetapkan oleh MKN bagi pengurusan kes di Mahkamah Syariah,” katanya.

Dr Zulkifli turut merakamkan ucapan penghargaan atas kerjasama Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN), MKN, MITI, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) bagi mempermudahkan usaha ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button