Berita Utama

MAQIS Selangor tahan daging lembu sejuk beku Australia bernilai hampir RM300,000

Kontena gagal kemuka permit import sah

SHAH ALAM, 18 Zulhijjah 1442H, Rabu – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor menahan sebuah kontena membawa daging lembu sejuk beku dari Australia bernilai RM296,998.91 di Pelabuhan Klang Barat, dekat sini, Isnin lepas.

MAQIS Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kontena berisi muatan 24,987.96 kilogram daging lembu itu ditahan hasil pemeriksaan rutin harian pada 5 petang susulan kegagalan mengemukakan permit import MAQIS yang sah.

“Perbuatan mengimport daging sejuk beku tanpa permit import akan disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3), akta sama.

“Jika disabit kesalahan, pihak terlibat boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” menurut kenyataan itu.

MAQIS Selangor menegaskan, pihaknya sentiasa mengambil serius terhadap isu membabitkan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan dagangan yang boleh mengancam keselamatan makanan serta status halal. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button