Berita Utama

MIC kena sedar saingan di kawasan majoriti Melayu

Ini soal strategi, jika tidak calon MP dan ADUN dari PKR dominasi keputusan

BANGI, 18 Zulhijjah 1442H, Rabu – MIC perlu sedar strategi calon Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bertanding atas tiket PKR akan terus mendominasi keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Berikutan itu, perubahan segera perlu dilaksanakan dengan mengembalikan kawasan majoriti Melayu kepada calon Melayu, kata Ketua Pemuda Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Fahmi Bazlan Muda.

Beliau berkata demikian berdasarkan rekod PRU14 yang jelas menunjukkan MIC hanya memenangi satu kerusi sahaja sekali gus memberikan laluan mudah kepada calon Ahli Parlimen dan ADUN dari PKR mendominasi keputusan.

Lebih malang, katanya, apabila kawasan terbabit struktur sosialnya adalah majoriti Melayu.

“Jika MIC ingin terus relevan dalam koalasi kerajaan hari ini. Mereka harus tampil dengan agenda yang lebih jelas dan besar dalam memberikan keyakinan kepada masyarakat Malaysia.

“Semangat perpaduan dan cintakan keamanan juga perlu dipertingkatkan agar MIC dilihat serius ingin memberikan sumbangan ke arah pembangunan dan pemerkasaan kepimpinan negara,” tegasnya dalam kenyataan kepada Ismaweb.net, hari ini.

MIC dilaporkan menaruh keyakinan pucuk kepemimpinan Barisan Nasional (BN) akan mengekalkan sembilan kerusi Parlimen dan 18 DUN yang menjadi tradisi milik parti itu untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Naib Presiden MIC, Datuk C Sivarraajh berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) BN sebelum ini.

Malah, MIC turut mengharapkan partinya diberi tambahan kerusi di Parlimen dan DUN yang berpotensi dimenangi berdasarkan populasi kaum.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button