Semua warga pendidik terima satu dos vaksin sebelum sekolah dibuka pada September
Pihak pentadbir sekolah diminta capai sebilangan guru tolak vaksin

KUALA LUMPUR, 18 Zulhijjah 1442H, Rabu – Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) memberi jaminan bahawa seluruh warga pendidikan akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, sebelum sesi persekolahan dibuka pada 1 September ini.
“Saya (Khairy Jamaluddin) dan Menteri Pendidikan (Datuk Dr Mohd Radzi Jidin) memberi jaminan, semua warga pendidikan akan diberi vaksinasi sebelum sekolah bermula,” katanya ketika menggulung sesi perbahasan mengenai Program Vaksinasi pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, hari ini.
Pada masa sama, Khairy memaklumkan, sehingga 27 Julai lalu, seramai 303,682 guru atau 73.5 peratus, 45,197 anggota kumpulan pelaksana (67 peratus) dan 33,633 pekerja perkhidmatan sokongan kontrak (38 peratus) sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Sementara, seramai 80,717 guru (90 peratus) guru peperiksaan Tingkatan Lima dan Enam sudah divaksin.
“Bagi sekolah swasta, seramai 12,894 guru (66.8 peratus), 4,367 guru peperiksaan (58 peratus) dan 3,026 kakitangan sokongan (54 peratus) sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin,” katanya.
Khairy turut mendedahkan bahawa terdapat sebilangan guru yang menolak vaksin.
Namun, beliau sudah meminta pihak pentadbir sekolah membuat capaian kepada golongan itu supaya jangkitan COVID-19 tidak berlaku selepas sekolah dibuka.