Berita Utama

Eksekutif langkau kuasa Agong suatu perkara serius

Kerajaan perlu bertanggungjawab atas tindakan membatalkan Ordinan Darurat

BANGI, 19 Zulhijjah 1442H, Khamis – Tindakan kerajaan membelakangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam isu Ordinan Darurat dianggap sebagai satu perkara serius.

Sehubungan itu, kerajaan perlu bertanggungjawab atas tindakan membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenaan Yang di-Pertuan Agong dengan menjelaskan perkara sebenar bagi meredakan kegelisahan rakyat.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, ini kerana hanya Yang di-Pertuan Agong sahaja yang berkuasa membatalkan Ordinan Darurat.

Tegas beliau, pihak eksekutif tidak boleh melangkaui kuasa yang telah diperuntukkan.

“Saya jangkakan ada berita besar yang bakal diumumkan tidak berapa lama lagi. Kita tunggulah nanti hanya masa yang akan menentukannya,” katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.

Zainul Rijal berkata, hala tuju negara perlu diperbetulkan semula memandangkan Malaysia masih dalam krisis kesihatan ekonomi dan politik.

Namun begitu, dakwanya, ahli politik dari kedua-dua belah pihak tidak menzahirkan kepimpinan yang gah untuk memandu negara ke landasan yang betul.

”Demi negara, ahli politik mesti mengenepikan perbezaan dan mencari persamaan. Kita akan menjadi lebih kuat jika kita bersama berbanding bertelagah antara satu sama lain.

”Ke mana lagi rakyat mahu tumpang berteduh? Hanya kepada Allah SWT sahaja tempat kita meminta perlindungan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button