Berita Utama

Tak guna saling menyalahkan, MN perlu bergerak ke arah muafakat umat

Setiap parti ada sumbangan tersendiri dan ia perlu dihargai

BANGI, 26 Syaaban 1443H, Selasa – Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, tiada guna menyalahkan antara satu sama lain sebaliknya semua parti dalam Muafakat Nasional (MN) perlu bergerak ke arah mewujudkan muafakat umat.

Tegas beliau, buat masa ini perlu bergerak ke hadapan bagi menyatukan semua pihak berikutan masing-masing memiliki sumbangan tersendiri.

“Itu lebih baik daripada kita meletakkan beban orang itu salah, orang ini salah.

“Lebih baik kita teruskan ke hadapan untuk menjadikan muafakat umat yang dapat disatukan daripada semua pihak,” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menyatakan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang seharusnya tidak menyalahkan UMNO semata-mata dengan dakwaan bahawa ada pihak tertentu cuba membawa agenda persendirian sehingga kerjasama melalui MN tergendala.

Tuan Ibrahim menegaskan, semua pihak dalam MN mempunyai sumbangan tersendiri dan perkara itu perlu dihargai.

“Semua orang ada sumbangan, kita harus akui contohnya macam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ada sumbangan mereka tersendiri dalam kerajaan,” katanya.

Justeru, katanya, dengan sumbangan berkenaan, semua pihak perlu hargainya dan bukan menyalahkan satu sama lain yang akhirnya tiada membawa penyelesaian.

Beliau juga menegaskan walaupun mesyuarat MN sudah lama tertangguh namun masih berhubung dengan pemimpin-pemimpin UMNO.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button