Berita Utama

Kediaman PM jadi tumpuan media

Susulan kenyataan Istana Negara berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat

KUALA LUMPUR, 19 Zulhijjah 1442H, Khamis – Kediaman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi tumpuan petugas media susulan kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat hari ini.

Petugas media dilihat mula ‘berkampung’ di rumah perdana menteri yang terletak di Bukit Damansara, di sini sejak pukul 1 tengah hari tadi.

Pemerhatian Bernama mendapati beberapa kenderaan dipercayai membawa menteri dan Peguam Negara memasuki perkarangan kediaman perdana menteri pada kira-kira 1.30 tengah hari.

Dalam kenyataan Istana Negara itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen pada Isnin bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong juga amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan tidak dilaksanakan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button