Berita Utama

Kerajaan masih ada sokongan lebih 110 Ahli Parlimen: Ismail Sabri

Minta rakyat bertenang, doa supaya kemelut politik berakhir segera

BANGI, 19 Zulhijjah 1442H, Khamis – Kerajaan menegaskan masih mendapat sokongan melebihi 110 Ahli-Ahli Parlimen yang bersama-sama pada hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Whip Kerajaan yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya menjunjung akan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam kenyataan media yang dikeluarkan Istana Negara pada hari ini.

“Situasi politik pada hari ini dalam keadaan yang tidak stabil yang boleh menjejaskan usaha menyelesaikan masalah ekonomi dan memerangi pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, Ismail Sabri meminta rakyat supaya bertenang dalam menghadapi situasi terkini dan berdoa supaya kemelut politik berakhir dengan segera.

Suasana politik negara semakin ‘panas’ hari ini susulan titah Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat yang belum diperkenankan Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah menzahir dukacita kerana apa yang telah diperkenankan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Peguam Negara, ketika majlis menghadap secara maya 24 Julai lalu, bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan dirungkaikan tidak dilaksanakan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Susulan titah Seri Paduka itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan usul hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin kepada Dewan Rakyat, hari ini.

Malah, UMNO juga mengarahkan semua Ahli Parlimennya melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi untuk menarik sokongan ke atas Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button