Ordinan Darurat: Inilah sebab UMNO kata PN kerajaan gagal
Dakwa ada sesuatu cuba diselindung apabila elak ordinan dirungkai Dewan Rakyat

BANGI, 19 Zulhijjah 1442H, Khamis – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa terdapat sesuatu yang cuba diselindungkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila mengelak Ordinan Darurat dirungkaikan di Dewan Rakyat.
Presiden UMNO itu berkata, demikian antara sebab parti berkenaan mengatakan kerajaan PN sebagai gagal.
Beliau berkata, bukan hanya gagal menjaga rakyat dan negara daripada kesan buruk pandemik, malah PN juga tidak menjunjung kedaulatan undang-undang serta institusi raja-raja.
“Kita tidak pasti mengapa kerajaan PN sanggup melanggar keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang ke tahap itu.
“Maka sudah terang lagi bersuluh wujud elemen seperti ‘kaduk naik junjung’ oleh mereka yang sedang menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan ketika ini.
“Kesimpulannya, kerajaan PN dilihat telah melakukan penderhakaan yang cukup besar ke atas rakyat, Yang di-Pertuan Agong dan institusi diraja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Atas sebab itu juga, Zahid mendakwa UMNO sebelum memutuskan menarik balik sokongan kepada ketua kerajaan PN – Tan Sri Muhyiddin Yassin – dan menuntut Perdana Menteri digantikan oleh individu lain yang lebih berkemampuan.
Terdahulu, Agong menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Peguam Negara, ketika majlis menghadap secara maya 24 Julai lalu bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan dirungkaikan, tidak dilaksanakan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
“Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen.
“… dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku ketua utama negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.