Berita Utama

Ordinan Darurat: Kerajaan tafsir Perlembagaan ikut nafsu

Akui salah, pegang semula pada prinsip kedaulatan sedia ada: BERJASA

BANGI, 19 Zulhijjah 1442H, Khamis – Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) menggesa kerajaan menarik balik kenyataan pembatalan Ordinan Darurat dan mengadakan kembali agenda membentang perbahasan di Parlimen, selaras titah Yang di-Pertuan Agong serta Perlembagaan Persekutuan.

Malah, kerajaan juga perlu mengakui kesalahan dan berpegang semula kepada prinsip kedaulatan sedia ada, kata Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim.

Beliau berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah melakukan kesalahan serius membelakangkan Yang di-Pertuan Agong yang memiliki prerogatif, sekali gus kuasa perundangan Persekutuan yang terletak dalam Parlimen.

“Prinsip Perlembagaan Persekutuan mengenai Proklamasi Darurat di bawah Perkara 150 (2B) dan 150 (3) juga telah selambanya diabaikan.

“Langkah kerajaan yang mentafsir Perlembagaan dan undang-undang mengikut nafsu sendiri ini hanya menyebabkan keharmonian semakin hilang, bukan hanya di Dewan Rakyat tetapi satu negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Agong menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Peguam Negara, ketika majlis menghadap secara maya 24 Julai lalu bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan dirungkaikan, tidak dilaksanakan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen.

“… dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku ketua utama negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Justeru, BERJASA meminta kerajaan khususnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) serta Peguam Negara, supaya bertanggungjawab serta jujur dengan peranan yang sepatutnya dimainkan.

“Kepada Menteri Undang-Undang dan Peguam Negara, mengadaplah Yang di-Pertuan Agong sesegera mungkin untuk memohon kemaafan atas kesilapan yang dilakukan secara sedar dan tidak berperlembagaan itu.

“Permohonan maaf secara terhormat di dalam Parlimen juga perlu dilakukan atas kekeliruan yang disengajakan. 

“Ingatlah, pimpinan kerajaan mahupun pembangkang sepatutnya sentiasa menjunjung Perlembagaan negara secara konsisten dan amanah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button