BANGI, 19 Zulhijjah 1442H, Khamis – Tatkala segenap sudut Tan Sri Muhyiddin Yassin diasak supaya meletakkan jawatan, PAS kekal pendirian untuk teguh bersama Perdana Menteri dalam mendukung semua keputusan Kabinet.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu tegas mendukung sistem Raja Berperlembagaan dalam kerangka keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
“PAS menyeru semua pihak untuk kekal bersatu padu dan mengetepikan politiking dalam menguruskan negara ketika situasi pandemik COVID-19.
“Kestabilan politik serta perpaduan rakyat sangat diperlukan dalam menghadapi ancaman pandemik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Suasana politik negara semakin ‘panas’ hari ini susulan titah Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat yang belum diperkenankan Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah menzahir dukacita kerana apa yang telah diperkenankan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Peguam Negara, ketika majlis menghadap secara maya 24 Julai lalu, bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan dirungkaikan tidak dilaksanakan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Susulan titah Seri Paduka itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan usul hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin kepada Dewan Rakyat, hari ini.
Malah, UMNO juga mengarahkan semua Ahli Parlimennya melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi untuk menarik sokongan ke atas Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.