Berita Utama

Takiyuddin tawar diri letak jawatan?

Sumber dakwa hasrat telah dimaklum kepada Presiden PAS

BANGI, 19 Zulhijjah 1442H, Khamis – Datuk Seri Takiyuddin Hassan didakwa menawarkan diri untuk meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

Menurut laporan Suara TV yang memetik sumber dalam PAS mendakwa, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung parti itu memaklumkan hasrat berkenaan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun, beliau diminta merujuk keputusan untuk melepaskan jawatan itu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terlebih dahulu.

Dakwaan tindakan itu dipercayai susulan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita terhadap pengumuman pembatalan Ordinan Darurat oleh Takiyuddin di Parlimen pada 26 Julai lalu, sedangkan Seri Paduka belum memperkenannya.

Istana Negara menerusi kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen.

“… dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara, malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku ketua utama negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button