Ubah landskap politik, selesaikan krisis ekonomi, kepimpinan
Tonjol pretasi baik, kerajaan PN perlu dipertahan
BANGI, 19 Zulhijjah 1442H, Khamis – Permainan politik berdasarkan kepada nafsu dan kepentingan peribadi semata-mata akan terus merugikan rakyat.
Pertelingkahan demi pertelingkahan, pergeseran demi pergeseran juga sebenarnya semakin memualkan rakyat jelata.
Atas dasar itu, perubahan landskap politik tanah air perlu segera dilakukan bagi mencari penyelesaian kepada krisis ekonomi dan kepimpinan yang belum menemui titik noktah.
Ketua Pemuda BERJASA, Ustaz Fahmi Bazlan Muda berkata, gesaan itu bagi menampung dan mengimbangi kestabilan negara yang ketika ini dilanda wabak COVID-19.
Rakyat tidak lagi sanggup menghadapi krisis ekonomi dan kepimpinan negara yang semakin ketandusan calon Ahli Parlimen serta DUN berwibawa yang boleh mengangkat suara rakyat, katanya.
“Pada masa sama, ia juga idea dan solusi terbaik kepada Pelan Pemulihan Negara pasca pandemik COVID-19 akan datang.
“Serentak itu, struktur sosial kawasan bertanding perlulah menjadi kayu ukur dan sandaran dalam menyusun strategi politik khususnya dari pihak kerajaan yang sedang memerintah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.
Biarpun begitu, Ustaz Fahmi berpendapat, kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini perlu dipertahankan.
“Ini berikutan prestasi baik mengembalikan negara kepada tahap terbaik setakat ini.
“Walaupun dunia mengetahui situasi getir dihadapi oleh kepimpinan setiap negara seluruh dunia,” katanya.