Berita Utama

UMNO minta Muhyiddin, Takiyuddin letak jawatan secara terhormat

Zahid mahu MP parti laksana keputusan MKT tarik sokongan ke atas PM

BANGI, 19 Zulhijjah 1442H, Khamis – UMNO hari ini meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan meletakkan jawatan secara terhormat.

Gesaan UMNO itu susulan kesal dengan tindakan kerajaan pimpinan Muhyiddin mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong, yang mahu semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan di Parlimen seiring Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

Lebih mendukacitakan apabila Seri Paduka Baginda mendedahkan bahawa pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat yang diumumkan Takiyuddin pada Isnin lalu di Parlimen, amat mengelirukan kerana belum mendapat perkenan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu jelas satu bentuk penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, bahkan membelakangkan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Atas dasar itu, beliau meminta Ahli-Ahli Parlimen UMNO menzahirkan dan melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti pada 7 Julai lalu, untuk menarik sokongan ke atas Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Keputusan ini bagi memenuhi sumpah jawatan selaku Ahli Parlimen yang wajib menumpahkan taat setia kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa.

“Pendirian ini juga seiring dengan asas dan matlamat penubuhan UMNO untuk sentiasa memelihara dan membela institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button