Dunia

Arab Saudi buka sempadan untuk pelancong lengkap divaksinasi

Tetapi masih perlu jalani ujian saringan dalam tempoh 72 jam

RIYADH, 20 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Arab Saudi hari ini mengumumkan akan membuka semula sempadan kepada pelancong asing yang sudah divaksinasi sepenuhnya setelah penutupan selama 17 bulan ekoran wabak COVID-19. 

Bagaimanapun, Riyadh tidak mengumumkan pembatalan sekatan umrah dan ibadah haji yang menarik jutaan umat Islam dari seluruh dunia setiap tahun ke negara itu. 

“Kementerian Pelancongan mengumumkan bahawa kerajaan akan membuka pintu bagi pelancong asing dan mengangkat semula penangguhan kemasukan bagi pemegang visa pelancong mulai 1 Ogos,” lapor Agensi Saudi Press. 

Difahamkan, pelancong yang telah divaksin sepenuhnya dengan suntikan dipersetujui Arab Saudi – Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Moderna atau Johnson&Johnson – akan dibenarkan memasuki negara itu tanpa perlu tempoh kuarantin. 

Bagaimanapun, syarat masih dikenakan ke atas mereka untuk mempunyai bukti ujian saringan negatif yang dilakukan dalam 72 jam terakhir dan mendaftarkan butiran kepada pihak kesihatan. 

Riyadh telah menghabiskan sejumlah besar wang untuk membangunkan industri pelancongan, sebagai sebahagian usaha untuk mempelbagaikan ekonomi yang bergantung pada sektor minyak. 

Kerajaan mula mengeluarkan visa pelancong untuk pertama kalinya pada tahun 2019. 

Antara September 2019 dan Mac 2020, sebanyak 400,000 visa dikeluarkan – namun momentum itu terhenti ekoran penutupan sempadan akibat pandemik. 

COVID-19 juga menjejaskan musim haji dan umrah yang biasanya menjadi sumber pendapatan utama bagi kerajaan – dalam keadaan normal boleh meraih kira-kira AS$12 bilion setiap tahun.

Setakat ini, hanya jemaah yang tinggal di Arab Saudi dan diimunisasi sepenuhnya sahaja layak mendapat kebenaran menunaikan ibadah umrah.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button