Dunia

AS tawar ganjaran tunai pada individu mahu terima vaksin

Wajibkan kakitangan kerajaan buat ujian saringan berkala jika belum diimunisasi

WASHINGTON, 20 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mendesak kerajaan tempatan memberikan ganjaran tunai kepada mana-mana individu yang mendapatkan vaksin COVID-19, sebagai mendorong lebih ramai menerima imunisasi ketika kes jangkitan varian Delta melonjak di negara itu. 

Pada masa sama, Biden turut menetapkan peraturan baharu supaya pekerja persekutuan memberikan bukti vaksinasi atau ujian saringan berkala, selain mewajibkan pemakaian pelitup muka serta melaksanakan sekatan perjalanan. 

AS dilihat ketinggalan dengan negara maju lain dalam mencapai kadar vaksinasi, walaupun sudah memperuntukkan pemberian imunisasi itu secara percuma. 

Usaha White House mendesak rakyatnya yang meragui vaksin telah mencetuskan tembok sentimen anti-vaksin, salah informasi dan perpecahan politik.

Keputusan Biden menetapkan berjuta-juta pekerja dan kontraktor persekutuan menunjukkan bukti vaksinasi adalah langkah daripada penentangan terhadap pasport vaksin sebelum ini. 

Ini sekali gus menunjukkan usaha White House mengambil sikap lebih tegas terhadap langkah mengawal virus daripada terus merebak. 

“Sekarang terlalu ramai yang mati dan menyaksikan insan tersayang mereka mati. Dengan kebebasan, perlu ada juga tanggungjawab. 

“Oleh itu, tolong lakukan pertimbangan yang bertanggungjawab. Dapatkanlah vaksin untuk diri sendiri, orang yang anda sayang dan demi negara,” kata Biden.

Menurut Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC), kira-kira 163.8 juta daripada populasi 330 juta penduduk di AS telah diberikan vaksin sepenuhnya. 

Langkah Biden ke atas pekerja persekutuan telah menjadi contoh untuk diikuti oleh sektor swasta dan institusi lain bagi menilai risiko membenarkan kakitangan kembali ke pejabat. 

Kakitangan kerajaan yang tidak menunjukkan bukti vaksinasi akan dipaksa menjalani ujian saringan COVID-19 secara mingguan atau dua kali seminggu, selain dilarang mengikuti perjalanan rasmi. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button