Kekeliruan pembatalan Ordinan Darurat satu krisis Perlembagaan
Masih ada ruang untuk kerajaan perbaiki keadaan, Peguam Negara perlu beri nasihat betul kepada kerajaan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 20 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Kekeliruan berhubung status pembatalan Ordinan Darurat yang dinyatakan oleh kerajaan berkuat kuasa pada 21 Julai 2021 berpotensi untuk membawa kepada krisis Perlembagaan, kata penganalisis politik.
Dr Mazlan Ali yang merupakan Pensyarah Kanan Pusat Perdana, Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Seri Paduka sepanjang tempoh darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan.
Sedangkan hasrat Seri Paduka Baginda bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.
Mengulas perkara itu, Dr Mazlan berkata, masih ada ruang antara kerajaan untuk memperbaiki keadaan ini.
“Peguam Negara boleh memberi nasihat yang betul kepada kerajaan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Sementara itu, tuntutan supaya Perdana Menteri meletak jawatan pula hadir daripada sentimen di mana timbulnya persepsi bahawa kerajaan tidak menyokong hasrat Seri Paduka Baginda atau disifatkan sebagai penderhakaan.
“Soal letak jawatan atau tidak itu bergantung kepada keputusan Ahli-ahli Parlimen. Pembangkang tidak berpuas hati adalah lazim kerana pembangkang mahu supaya ordinan ini dibahaskan di Parlimen.
“Maka, soal yang lebih penting saya lihat di sini adalah Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mesti fokus kepada hasrat tuanku untuk kita sama-sama selesaikan isu pandemik COVID-19 yang sangat berbahaya ini, yang boleh merosakkan ekonomi negara dan kehidupan rakyat serta nyawa rakyat kerana kes yang makin bertambah,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai desakan supaya Muhyiddin berundur, Dr Mazlan berkata, ia bergantung kepada perkembangan selepas ini.
“Selagi Muhyiddin mendapat sokongan Ahli Parlimen yang cukup, maka kerajaan tidak tergugat. Kerajaan juga boleh teruskan dalam sidang akan datang pada September nanti untuk meneruskan perbahasan, perincikan Ordinan Darurat.
“Soal-soal teknikal boleh diselesaikan. Peguam Negara perlu teliti perkara ini dan kerajaan boleh selesaikan,” katanya.
Pun begitu, beliau menegaskan bahawa hubungan antara kerajaan dengan istana perlu dijaga.
Ini kerana, Seri Paduka Baginda dalam dua surat yang diterbitkan Istana Negara jelas menzahirkan kekecewaan atas pembatalan Ordinan Darurat, kerana seolah-olah hasrat Seri Paduka tidak disokong oleh kerajaan yang memberi nasihat kepada Seri Paduka sendiri.
Menyentuh mengenai kerajaan interim pula, beliau berkata, ia hanya akan berlaku apabila ada gerakan daripada Ahli Parlimen yang bersepakat menarik sokongan daripada Muhyiddin.
“… dan kalau boleh dibuktikan di Parlimen, maka YDPA boleh memanggil seorang yang lain untuk membentuk kerajaan.
“Jika tidak ada sokongan jelas, Tuanku boleh menubuhkan kerajaan interim. Yang boleh memfokuskan sepenuhnya kepada isu pandemik COVID-19.
“Pada pandangan saya, kita kurangkan pergeseran antara Ahli Parlimen, kerajaan dengan pembangkang. Kerana kita lihat ada musibah lebih besar, jangkitan COVID-19 dengan varian baharu, kadar kematian pun meningkat, ini perkara yang perlu difokuskan terlebih dahulu. Kurangkan politiking supaya sama-sama kita dapat fokus ke arah kebaikan negara,” katanya.