Berita Utama

MP UMNO diminta patuh tarik sokongan Muhyiddin sebagai PM: Tok Mat

Kerajaan jelas angkuh, tiada kesusilaan terhadap Seri Paduka Baginda

BANGI, 20 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Timbalan Presiden UMNO meminta semua Ahli Parlimen parti itu menjarakkan diri daripada terheret ke dalam krisis yang berlaku di antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan pihak Istana Negara ketika ini.

Justeru, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa semua Ahli Parlimen UMNO sama ada yang berjawatan di dalam atau luar kerajaan untuk akur serta patuh dengan pendirian rasmi parti yang dikeluarkan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

Semalam, Zahid meminta Ahli-Ahli Parlimen UMNO menzahirkan dan melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 7 Julai lalu, untuk menarik sokongan ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Ini susulan tindakan kerajaan Muhyiddin mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan di Parlimen seiring Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

Mohamad berkata, pendirian rasmi itu adalah keputusan kolektif parti yang selari dengan suara akar umbi di Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

“Susulan pencerahan dari Istana Negara kelmarin, maka bertambah kukuh lagi kebenaran pendirian parti.

“Kerajaan telah jelas membelakangkan institusi di raja, melakukan tindakan tidak berperlembagaan dan tidak berlaku benar di Parlimen yang mulia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malah, beliau berkata, jawapan balas kerajaan menerusi Pejabat Perdana Menteri terhadap kenyataan Istana Negara pula menyulitkan lagi keadaan.

Katanya, kenyataan itu telah menjuruskan Malaysia ke suatu krisis Perlembagaan yang serius.

“Kerajaan jelas angkuh dan tiada kesusilaan terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Atas dasar itu, beliau menggesa kebijaksanaan dan hikmah semua Ahli Parlimen UMNO untuk melakukan perkara yang tepat selari dengan pendirian parti.

“Tiada apa jua alasan dapat digunakan untuk mempertahankan kerajaan yang telah dilihat nyata ingkar, culas dan gagal dalam melaksanakan titah dan nasihat Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan tanggungjawab memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan negara.

“Kesetiaan kepada kerajaan PN, tidak boleh mengatasi kesetiaan kepada raja, negara dan parti,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button