Berita Utama

Tak masuk akal tukar kerajaan sekarang

Rakyat belum bersedia keluar mengundi, hanya fikir kelangsungan hidup

BANGI, 20 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Kerajaan yang sedia ada perlu dikekalkan kerana belum sampai masanya lagi untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas faktor pandemik COVID-19.

Berikutan kesan pandemik ini juga, majoriti rakyat belum bersedia untuk keluar mengundi memandangkan apa yang paling utama pada rakyat ketika ini adalah kelangsungan hidup, kata Exco Pemuda UMNO, Muhammad Faiz Hashim.

“Rakyat begitu tertekan dan sangat susah ketika ini. Tukar kerajaan? Lagilah tak masuk akal. UMNO sesekali tidak akan bekerjasama dengan DAP kerana agenda perjuangan parti masing-masing dah cukup ketara berbeza,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Namun, pada pandangannya, apa yang terbaik ketika ini adalah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur secara terhormat dan memberi laluan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengemudi negara ke arah yang lebih baik.

“Ismail Sabri perlu diangkat menjadi Perdana Menteri.

“Saya yakin, Timbalan Perdana Menteri yang datang daripada UMNO yang mempunyai kerusi terbanyak dalam gabungan Perikatan Nasional mampu membawa negara dan kerajaan ke arah yang lebih baik di samping menyelesaikan masalah COVID-19, ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat,” katanya.

Katanya, pengalaman Ismail Sabri dalam Kabinet sejak 2008 dengan memegang pelbagai jawatan menteri meletakkan dirinya seorang pemimpin yang kreatif dan ada kesungguhan itu.

Ini boleh dilihat menerusi kecemerlangan rekod kepimpinannya ketika mengemudi beberapa kementerian penting seperti Belia dan Sukan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Pertanian dan Industri Asas Tani, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Pertahanan.

Justeru, Faiz sekali lagi menegaskan bahawa kreativiti, komitmen serta kebijaksanaan Ismail Sabri amat diperlukan ketika ini sebagai Perdana Menteri.

Ini supaya beliau dapat mengemudi negara ke arah yang lebih baik untuk menyelesaikan pandemik COVID-19, ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat yang amat tertekan ketika ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button