Berita Utama

UMNO disyor tubuhkan kerajaan interim

Wakil rakyat UMNO mesti memilih, bersama raja dan rakyat atau PN

BANGI, 20 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam berkenaan tindakan membatalkan Ordinan Darurat tidak menjernihkan keadaan, malah akan menjadikan ia semakin meruncing.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, partinya tidak akan dan tidak wajar terheret dalam konflik ini. 

Beliau berkata, iltizam UMNO sedari awal penubuhannya, adalah antara lain mempertahankan institusi raja.

“Apa jua tindakan yang tidak selari dengan iltizam tersebut adalah bertentangan dengan nilai, pendirian dan perjuangan UMNO,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, katanya, jalan keluar daripada semua ini adalah untuk UMNO mengusahakan penubuhan kerajaan interim.

Ia termasuk meninggalkan Perikatan Nasional yang dilihatnya sebagai pilihan lebih baik dan strategik daripada membelakangkan kepentingan nasional dalam saat krisis ini.

“UMNO mesti menyelamatkan Malaysia dengan mengusahakan penubuhan kerajaan interim hanya dengan tiga mandat sahaja iaitu menguruskan ekonomi negara, menguruskan krisis kesihatan dan mentadbir negara demi menyediakan ia untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Kerajaan interim ini terhenti bila PRU diadakan,” katanya.

Pada masa sama, Khaled memberi jaminan bahawa Parlimen perlu terus bersidang, kebebasan media dan media sosial dijamin, setiap keputusan dan perbelanjaan kerajaan dibentangkan di Parlimen demi kepentingan semak dan imbang serta fungsi Perlembagaan mesti dipulihkan sepenuhnya.

“Saat UMNO terbelenggu dengan nafsu demi kuasa dan kedudukan dalam Kerajaan PN telah berakhir.

“Wakil rakyat UMNO mesti memilih. Bersama raja dan rakyat atau bersama dengan Perdana Menteri dan Perikatan Nasional,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button