Berita Utama

Azhar berkecuali berkait usul dibawa terhadap abangnya, Idrus

Sebarang keputusan diserah pada dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 21 Zulhijjah 1442H, Sabtu- Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun membuat keputusan untuk mengecualikan diri beliau daripada membuat sebarang keputusan berkaitan usul oleh Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kula Segaran. 

Azhar berkata, pihaknya telah menerima usul oleh Kula Segaran pada 29 Julai lepas. 

“Usul tersebut mempunyai hal-hal yang bersangkutan dan mengenai Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, sebagaimana yang diketahui umum adalah abang kandung saya,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Azhar berkata, sebarang keputusan mengenai usul tersebut diserahkan kepada dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat iaitu Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Datuk Seri Azalina Othman Said. 

“Saya tidak akan campur tangan dalam apa cara sekalipun di dalam pelaksanaan tugas timbalan-timbalan Yang Dipertua di dalam hal berkaitan,” katanya. 

Kula Segaran dalam surat kepada Setiausaha Dewan Rakyat bertarikh 29 Julai, mencadangkan usul agar tindakan sewajarnya diambil terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara kerana telah mengelirukan Dewan Rakyat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button