Berita Utama

MAFI jamin bekalan daging mencukupi Ramadan, Syawal ini

Pemberian subsidi kepada penternak tingkat pengeluaran telur, ayam

KUALA LUMPUR, 27 Syaaban 1443H, Rabu – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan bekalan daging mencukupi pada Ramadan dan Syawal ini, kata Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata, bekalan daging tidak terjejas walaupun negara perlu bergantung kepada daging import iaitu 70 peratus kerana pengeluaran daging tempatan atau tahap sara diri (SSL) industri itu hanya sekitar 21 peratus.

“Kita banyak mengimport (daging) antaranya dari India, Pakistan, Australia dan setakat ini pengimportannya adalah stabil, tiada gangguan.

“Kita di kementerian akan sentiasa memantau untuk memastikan bekalan daging mencukupi bukan sahaja ketika perayaan tetapi juga bekalan harian,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jubli Emas Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan mengambil langkah intervensi jangka pendek menerusi pemberian subsidi kepada penternak bagi meningkatkan pengeluaran telur dan ayam.

Ditanya mengenai perkembangan bagi penyelesaian tempoh Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang dihadapi usahawan tani, beliau berkata, kementerian sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi menangani masalah tempoh lesen itu.

“Ada isu dan cadangan dikemukakan mengenai pajakan tanah di beberapa negeri yang menyatakan tempoh pajakan itu terlalu singkat (iaitu) tiga tahun untuk bangunkan industri agromakanan secara besar-besaran.

“Dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang lepas, MAFI diminta untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri dan kita sedang lakukan (perbincangan),” katanya.

Beliau berkata, kementerian dan pengurusan tertinggi kerajaan juga akan meneliti cadangan penggiat industri untuk menilai dan memanjangkan tempoh lesen sedia ada bagi meningkatkan pembangunan industri agromakanan.

Pada 24 Mac lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata hasil mesyuarat EAC, kerajaan bersetuju agar MAFI berbincang dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi menangani masalah tempoh TOL yang dihadapi usahawan tani.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button