Proklamasi Darurat Sarawak elak penularan COVID-19 jadi lebih serius
Berkuat kuasa pada 2 Ogos hingga 2 Februari depan

PUTRAJAYA, 21 Zulhijjah 1442H, Sabtu – Proklamasi Darurat bagi seluruh negeri Sarawak perlu diisytihar untuk menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bagi mengelakkan penularan COVID-19 menjadi lebih serius.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, Jemaat Menteri dalam mesyuarat pada 21 Julai lalu menasihati Yang Di-Pertuan Agong agar memperkenankan Proklamasi Darurat bagi seluruh negeri Sarawak setelah darurat yang berkuat kuasa pada masa ini berakhir pada esok.
“Sehubungan itu, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan kerajaan negeri Sarawak telah memperkenankan Proklamasi Darurat bagi seluruh negeri itu yang akan mula berkuat kuasa pada 2 Ogos 2021 hingga 2 Februari 2022,” katanya.
Katanya lagi, dengan Proklamasi Darurat itu, Pilihan Raya Negeri Sarawak tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa kecuali jika darurat ditamatkan lebih awal.