Berita UtamaDunia

Ribuan aktivis media sosial lancar kempen bantah penerbangan Israel-Maghribi

Pesawat negara haram, El Al terbang ke Maghribi lima kali seminggu

RABAT, 21 Zulhijjah 1442H, Sabtu – Ribuan aktivis media sosial Maghribi melancarkan kempen bantahan terhadap penerbangan terus antara Israel dan Marrakesh di Maghribi, lebih dari tujuh bulan setelah rejim Tel Aviv dan Afrika Utara menormalkan hubungan diplomatik menerusi perjanjian yang ditangani Amerika Syarikat (AS).

Pelbagai tanda pagar, termasuk ‘Zionis tidak diterima di negara saya’ dan ‘Tidak untuk Zionis’ dimuat naik sebagai protes dengan keputusan kerajaan Maghribi yang menyambut kumpulan pertama pelancong negara haram Israel, lapor berita televisyen al-Mayadeen.

Mereka tegas menolak semua bentuk normalisasi dengan rejim penjajah dan menyuarakan sokongan yang teguh untuk perjuangan Palestin.

Kumpulan yang menyokong Palestin dan menolak gerakan normalisasi di Maghribi meminta rakyat negara itu turut serta dalam kempen elektronik, dan dengan tegas menolak kedatangan pelancong Israel di Marrakesh.

“Saya menonton video kehadiran pelancong (Israel), yang rejimnya telah merampas tanah Palestin, membunuh nyawa rakyat Palestin, dan menodai kesucian bangsa Palestin.  

“Saya ingin bertanya: “Bagaimana perasaan anda di hadapan ratusan korban (Palestin), termasuk wanita dan anak-anak, dan pemusnahan tanah dan bangunan pertanian mereka,” ciap seorang aktivis di laman Twitternya.

Dilaporkan, orang ramai turun ke jalan di Casablanca, mengibarkan bendera Palestin dan mengecam normalisasi ‘memalukan’ tersebut.

“Menari dengan pembunuh kanak-kanak dan menaikkan bendera rejim aparteid adalah menjijikkan.

“Adakah pelancong dari negara lain pernah menaikkan bendera mereka? Sila berintegriti. Perlu diingatkan bahawa orang Maghribi berdiri bersama Palestin,” ciap aktivis lain di Twitter.

Dua syarikat penerbangan Israel pada hari Ahad melancarkan penerbangan terus tanpa henti ke Marrakesh dari Tel Aviv.

Penerbangan Israir 61 berlepas pada jam 8.15 pagi (0515 GMT) untuk penerbangan 5 jam setengah, dengan pramugara memakai pakaian tradisional Maghribi dan menyajikan makanan Maghribi.

Penerbangan El Al Israel Airlines 553 pula berlepas pada jam 11.35 pagi (0835 GMT).

El Al, syarikat penerbangan Israel memaklumkan akan beroperasi sehingga lima penerbangan seminggu ke Maghribi dengan pesawat Boeing 737. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button