Berita Utama

Ahli politik perlu ketepikan ideologi, beri komitmen realisasi PPN

Bagi membolehkan Malaysia keluar dari kemelut pandemik COVID-19

KUALA LUMPUR, 22 Zulhijjah 1442H, Ahad – Komitmen dan sokongan pelbagai pihak termasuk ahli politik terutama Ahli Parlimen diperlukan untuk merealisasikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi membolehkan Malaysia keluar daripada kemelut pandemik COVID-19.

Penganalisis Politik dan Media Sosial Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berkata semua ahli politik perlu mengetepikan ideologi politik masing-masing dan tampil membantu kerajaan serta mengutamakan agenda rakyat melalui PPN.

Beliau berkata setakat ini, komitmen Ahli Parlimen masih tidak mencapai tahap maksimum sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinggalah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang dilaksanakan di seluruh negara.

“Proses vaksinasi yang sedang berlaku masih belum meraih sokongan utuh dalam kalangan ahli politik dan parti-parti politik di mana mereka pun boleh tampil ke hadapan untuk menyokong serta menggerakkan program vaksinasi itu di kawasan masing-masing,” katanya dalam wawancara khas secara dalam talian dengan media hari ini.

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu berkata selain ahli politik, parti politik dan ketua komuniti juga perlu bekerjasama serta memberikan sokongan bagi menjayakan PPN yang merupakan pelan keluar krisis kesihatan yang melanda Malaysia sejak Mac tahun lepas.

Beliau turut mempersoal tahap kerjasama pemimpin politik, wakil rakyat dengan ketua-ketua komuniti di kawasan masing-masing dari segi pendaftaran vaksinasi dan mencadangkan penubuhan pasukan sukarelawan yang boleh membantu dalam memobilisasikan PICK.

PPN, yang diumum 15 Jun lepas, menggariskan empat fasa peralihan merangkumi perincian SOP untuk setiap fasa dengan peralihan fasa bagi sesebuah negeri akan dinilai dan dipertimbang berdasarkan tiga indikator nilai ambang iaitu purata bilangan kes harian, kadar penggunaan katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan peratusan rakyat dewasa yang lengkap divaksinasi.

Sara juga berkata Malaysia berdiri setanding dengan negara maju dari segi bantuan dan program vaksinasi yang menyaksikan sebanyak 20,533,660 dos vaksin telah diberikan kepada penduduk di negara ini setakat semalam.

Beliau berkata usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberikan pelbagai bantuan dan insentif kepada rakyat negara ini dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19 sejak Mac 2020 setanding dengan negara maju seperti Kanada dan Amerika Syarikat.

Katanya kerajaan PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersikap terbuka dalam menerima cadangan pihak lain yang menyaksikan ia terbukti apabila terdapat penambahbaikan berterusan setiap kali pengumuman pakej bantuan baharu kepada rakyat.

Menyentuh Belanjawan 2022 yang bakal diumumkan Oktober ini, Sara berkata tumpuan harus diberikan kepada sektor kesihatan negara termasuk peruntukan lebih besar kepada Kementerian Kesihatan bagi menaik taraf infrastruktur perubatan, menyerap petugas kesihatan kontrak ke jawatan tetap dan pemberian bantuan kepada petugas barisan hadapan sebagai tanda penghargaan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button