Berita Utama

Hishammuddin ketuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN bermula Isnin

Menteri-menteri luar dijangka memperakukan beberapa dokumen

PUTRAJAYA, 22 Zulhijjah 1442H, Ahad – Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dijadual mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-54 (AMM ke-54) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan bermula esok (2 Ogos) sehingga 7 Ogos.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, semua mesyuarat itu diadakan menerusi sidang video dan dihoskan Brunei Darussalam selaku Pengerusi ASEAN 2021.

“AMM ke-54 kali ini menteri-menteri luar ASEAN akan membincangkan kemajuan Pembangunan Komuniti ASEAN; Keutamaan dan Hasil Utama AESAN termasuk strategi bersama pemulihan sosioekonomi COVID-19.

“Turut akan dibincangkan pelaksanaan Pelan Pembangunan Keselamatan Politik ASEAN 2025, isu serantau dan antarabangsa termasuk persiapan untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 yang dijadualkan pada Oktober 2021,” menurut kenyataan itu.

Antara mesyuarat akan disertai Hishammuddin, Mesyuarat Menteri–Menteri Luar ASEAN+3 Ke-22 (APT FMM Ke-22); Mesyuarat Suruhanjaya Kawasan Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ); Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) ke-23; dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-29.

Lain-lain mesyuarat ialah Mesyuarat Menteri–Menteri Luar ASEAN–ROK; Mesyuarat Menteri–Menteri Luar ASEAN-China; Mesyuarat Menteri–Menteri Luar ASEAN–Jepun; Mesyuarat Menteri–Menteri Luar ASEAN–Amerika Syarikat dan Mesyuarat Menteri–Menteri Luar ASEAN–Australia.

Menurut kenyataan itu lagi, Malaysia sebagai Negara Penyelaras untuk hubungan dialog ASEAN-Australia 2018-2021, Hishammuddin dan rakan sejawatannya dari Australia, Senator Marise Payne akan bersama mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-Australia.

“Di akhir mesyuarat, Malaysia akan menyerahkan peranan sebagai Negara Penyelaras untuk hubungan dialog ASEAN-Australia kepada Laos.

“Malaysia juga akan mengambil alih peranan Negara Penyelaras untuk hubungan dialog ASEAN–Kanada daripada Myanmar selepas Mesyuarat Menteri–Menteri Luar ASEAN–Kanada,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan rumusan AMM Ke-54 dan mesyuarat–mesyuarat berkaitan, menteri-menteri luar dijangka memperakukan beberapa dokumen, termasuk Kenyataan Bersama AMM Ke-54 yang akan memperincikan hasil perbincangan serta keputusan strategik yang dicapai semasa mesyuarat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button