Berita Utama

MAIPs arah masjid di Kuala Perlis hadkan aktiviti imarah, ketatkan SOP

Susulan peningkatan kes jangkitan di Kuala Perlis dan kawasan sekitar

KANGAR, 22 Zulhijjah 1442H, Ahad – Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengarahkan semua masjid di Kuala Perlis mengehadkan aktiviti pengimarahan masjid dan ketatkan prosedur operasi standard (SOP) bermula hari ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah tindakan tersebut diambil susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di Kuala Perlis dan kawasan sekitarnya.

“Semua masjid di Kuala Perlis dan sekitarnya terlibat dengan arahan pelaksanaan aktiviti pengimarahan secara terhad dan SOP diperketatkan bermula waktu solat zohor hari ini sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian,” titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan MAIPs hari ini.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah enam masjid yang terlibat ialah Masjid Rahmaniah, Kuala Perlis; Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Seberang Ramai; Masjid Terapung Al-Hussain; Masjid Al-Firdaus, Padang Besar Selatan; Masjid Al-Munir, Jalan Batu Lima dan Masjid Al-Mukminin, Kota Kayang.

Titah baginda mereka yang berada dalam kawasan terlibat dilarang keluar dari kariah untuk menunaikan solat atau hadir mengimarahkan masjid di tempat lain.

Baginda bertitah orang ramai diminta segera membuat laporan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) sekiranya terdapat individu yang melanggar ketetapan tersebut.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah hanya pegawai bertugas (imam, bilal dan siak) serta jemaah yang terdiri daripada kalangan jawatankuasa kariah masjid tidak melebihi 12 orang sahaja dibenarkan melaksanakan aktiviti solat jemaah.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis dalam kenyataan semalam berkata sebanyak 16 kes baharu COVID-19 dikesan di negeri ini semalam.

Kenyataan tersebut menasihati orang ramai agar terus berwaspada dan jangan alpa, khususnya apabila berada bersama individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan yang tinggi kes COVID-19.

“Semua individu yang pulang dari luar Perlis diminta untuk menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button