Berita Utama

RM700 bantuan khas Aidilfitri penjawat awam, RM350 pesara

Elaun khas RM100 sehari untuk ahli SAR di Turkiye, Syria

KUALA LUMPUR, 3 Syaaban 1444H, Jumaat – Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM350 turut disalurkan kepada pesara kerajaan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, bantuan itu diberi sebagai menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam. 

“Kerajaan silih berganti, pemimpin negara kerap bertukar tetapi penjawat awam sebagai tulang belakang kerajaan setia menggalas amanah negara.

“Ke arah Malaysia MADANI, penjawat awam perlu segera bawa perubahan, menerapkan pembaharuan dengan matlamat akhir menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat di sini hari ini. 

Ia merupakan belanjawan pertama dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

Beliau berkata, kerajaan turut bersetuju untuk memberi elaun khas RM100 sehari kepada semua ahli pasukan mencari dan menyelamat (SAR) negara yang terlibat dalam misi di Turkiye dan Syria. 

“Elaun ini adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan ke atas jasa besar yang diberikan atas nama kemanusiaan,” kata beliau.

Sementara itu, bagi memastikan perkhidmatan pengkomputeran awan dalam sektor awam yang berkesan, beliau berkata Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) telah mengambil startegik dengan menaik taraf perkhidmatan MyGovCloud.

“Perkhidmatan ini mampu berfungsi secara hibrid dengan turut menggabungkan perkhidmatan public cloud oleh penyedia perkhidmatan awan yang dilantik kerajaan,” katanya.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button