Berita Utama

Malaysia bakal merudum jika kemelut politik berpanjangan

13 NGO Melayu gesa kerajaan usul kepada Agong lanjut tempoh darurat

BANGI, 22 Zulhijjah 1442H, Ahad – Parti politik dari pihak kerajaan, pembangkang serta blok bebas perlu bekerjasama sebagai satu pasukan dan tidak terus bercakaran sesama sendiri sekali gus mengganggu proses pemulihan pandemik COVID-19.

Koordinator gabungan 13 badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan Melayu, Ahmad Yazid Othman berkata, selagi pihak berkenaan terus bercakaran sambil melemparkan cemuhan dan kata-kata nista antara satu sama lain, selagi itu permasalahan COVID-19 tidak akan selesai.

Katanya, rakyat juga kini rata-rata sudah hilang kepercayaan terhadap institusi Parlimen dan kuasa eksekutif Jemaah Menteri.

Bagaimanapun ia dapat dipulihkan segera dengan membuktikan secara telus akan wujudnya kesungguhan dan kerjasama dalam membendung pandemik ini secara kolektif.

“Kemelut politik ini akan berpanjangan jika sekiranya penyelesaian yang segera dan tegas tidak dilaksanakan.

“Akibatnya kedudukan ekonomi negara akan semakin merudum, rakyat akan terus kelaparan apabila semakin ramai yang hilang pendapatan dan kematian akan meningkat.

“Akibatnya juga, agenda mengarahkan hala tuju pembangunan negara kepada suatu yang lebih menjaga kepentingan rakyat daripada kepentingan modal; mencapai keseimbangan ekonomi dan kemakmuran bersama terabai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai ikhtiar mencari penyelesaian kepada situasi yang semakin meruncing ini, gabungan 13 NGO itu mendesak agar pihak kerajaan segera mengusulkan kepada Yang di-Pertuan Agong beberapa tindakan.

Antaranya menyambung tempoh darurat ke satu tarikh dianggap munasabah bertujuan menstabilkan keadaan politik dan mengawal penularan COVID-19 yang semakin tinggi hari demi hari.

Selain itu, mewujudkan Majlis Gerakan Negara Pandemik bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong menentu serta memilih tokoh dirasakan sesuai untuk meneruskan pentadbiran.

“Dalam hal ini, kami mencadangkan komiti MAGERAN tersebut harus diteraju secara non-partisan, bagi memastikan politik kepartian tidak mendahului kepentingan membela nasib rakyat.

“Ahli majlis mestilah yang berjiwa rakyat bukan mereka yang ingin menjaga kepentingan modal atau kepentingan jangka pendek kerana kita perlu melakukan ‘reset’ yang bermakna pada sistem ekonomi dan politik sekarang,” tegasnya.

Menerusi kenyataan bersama itu juga, gabungan 13 NGO itu mengusulkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan sebaik saja MAGERAN tamat iaitu pada Mei 2023 atau lebih awal lagi bagi membolehkan hak memilih kerajaan ditentukan sepenuhnya oleh rakyat.

Kenyataan itu dibuat Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Amal Sejagat Malaysia dan Himpunan Anak Kedah SeMalaysia (HaKEM).

Ia termasuk, Gabungan Demi Melayu, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM), Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Pertubuhan Pembangunan dan Inovasi Wanita (WADI Malaysia), PAKAR Malaysia, Pertubuhan Sinar Rahmah dan MyVoice Malaysia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button