Berita Utama

Mampukah bantahan jalanan selesai masalah?

Apakah 'Keluar dan #Lawan' jenama baru bagi BERSIH?

BANGI, 22 Zulhijjah 1442H, Ahad – Perhimpunan bantahan yang berlangsung di ibu kota semalam menimbulkan persoalan sama ada protes jalanan boleh menyelesaikan semua masalah.

Pemerhati politik, Mohd Lutfi Abdul Khalid mempersoalkan dalam keadaan pandemik yang semakin meruncing dan perbalahan sengit ‘wakil rakyat’ dan kekecohan di Parlimen, adakah segala tuntutan politik selepas ini akan melimpah dan dibuat melalui demonstrasi jalanan secara besar-besaran.

“Adakah semua masalah boleh diselesaikan melalui protes jalanan?

“Siapakah dalang-dalang di sebalik demonstrasi ini? Pemimpin dan parti politikkah? Anasir luarkah? Gerakan sivilkah? Kumpulan hak asasi manusiakah? Adakah ini satu penjelmaan dan penjenamaan baru bagi BERSIH tetapi atas nama ‘Keluar dan Lawan’?,” soalnya dalam kenyataan di akaun Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tidak dinafikan banyak pihak yang tidak berpuas hati terhadap cara pihak kerajaan menangani pelbagai isu dan masalah negara.

Pada masa sama katanya, rakyat juga sudah muak dengan gelagat ahli dan parti-parti politik yang lebih mementingkan diri serta puak sendiri dalam kerakusan merebut kuasa.

“Tanpa menolak hak rakyat dan masyarakat untuk mengkritik pemerintah, menyuarakan pendapat secara bebas dan memperjuangkan keyakinan masing-masing, kita juga berhak untuk bertanya, apakah sekarang masa yang sesuai untuk turun ke jalan raya?” soalnya.

Terdahulu dianggarkan seramai 450 orang menyertai perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ dipercayai bagi mendesak Perdana Menteri dan barisan Kabinetnya meletakkan jawatan.

Mereka juga membawa bendera hitam, sepanduk meluahkan protes dan replika jenazah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button