Berita Utama

SPRM buka bilik gerakan sepanjang PRK Pelangai

Orang ramai boleh salur aduan berkait rasuah, salah guna kuasa

BANGI, 7 Rabiulawal 1445H, Sabtu – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini melancarkan bilik gerakan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

SPRM berkata, bilik gerakan itu bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang tempoh PRK kali ini.

Katanya, bilik gerakan PRK DUN Pelangai akan beroperasi 24 jam bermula hari ini hingga 7 Oktober, bertempat di SPRM Cawangan Raub, Tingkat 1, Bangunan Persekutuan, Jalan Tengku Abdul Samad, Raub.

“Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui emel kepada [email protected] atau menghubungi talian 09-3501967,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, SPRM mengingatkan semua calon bertanding supaya tidak melakukan aktiviti yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya.

Katanya, ia selaras Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta kesalahan pilihan Raya 1954.

PRK DUN Pelangai bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas.

Mereka terdiri daripada Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong, Datuk Amizar Abu Adam dari BN, Naib Yang Dipertua PAS Bentong, Kasim Samat (PN) dan Haslihelmy DM Zulhasli, calon Bebas yang akan menggunakan simbol kereta.

Ia diadakan selepas penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, di Shah Alam, Selangor, bulan lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button