Berita Utama

Perpecahan dalam BN tidak boleh diselindung lagi

UMNO, BN di peringkat atas masing-masing punyai hala tuju sendiri?

BANGI, 22 Zulhijjah 1442H, Ahad – Perpecahan dalam Barisan Nasional (BN) tidak boleh diselindungkan lagi, kata Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad.

Beliau berkata, UMNO dan BN di peringkat atas, sememangnya sudah berpecah dengan masing-masing mempunyai hala tuju sendiri.

“Ianya tidak boleh diperbetulkan masa ini.

“Insha-Allah, kerana akar umbi UMNO khususnya masih kekal, ianya diperbetulkan pada PRU (pilihan raya umum) yang akan datang,” katanya dalam kenyataan di akaun Facebook beliau, hari ini.

Pada masa sama, beliau mendakwa MCA dan MIC sudah pun menyokong kuat kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Dakwanya, ianya tanda keselesaan kepimpinan kedua-dua buah parti pengasas BN dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Bagaimana pula kebersamaan ini dicerminkan di peringkat akar umbi mereka masih belum jelas.

“Ini analisa yang berpandu kepada fakta dan angka. Maka ianya mendalam dan berasaskan kepada catitan peristiwa yang berlaku.

“Sebenarnya, analisa yang paling mudah ialah melihat kepada satu fakta sahaja yang menandakan kepatuhan seseorang Ahli Parlimen BN kepada parti yang mereka bertanding sebagai calonnya pada PRU yang lalu,” katanya.

Jelasnya, setiap Ahli Parlimen BN dikehendaki menyumbang lima peratus dari elaun Ahli Parlimen mereka setiap bulan kepada BN.

Katanya lagi, elaun mereka yang dikecualikan daripada cukai pendapatan ialah RM16,000 sebulan dan mereka perlu menyumbang RM800 sebulan.

Bagaimanapun menurut fahaman beliau, hanya berbelas sahaja Ahli Parlimen BN yang membuat potongan bulanan kepada parti itu walaupun sumbangan lima peratus ini kecil berbanding dengan parti-parti lain.

“Sambil elit parti membuat penilaian dan keputusan tersendiri, mahupun melompat keluar, menyokong secara terbuka PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dari masa Tun Dr Mahathir (Mohamad) hingga kepada Tan Sri Muhyiddin dan akhirnya tidak sanggup membuat potongan bulanan elaun mereka.

“…akar umbi sedar dan bersedia untuk melihat suatu barisan baharu calon-calon parti pada PRU15,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button