Berita Utama

Malaysia terus guna vaksin COVID-19 AstraZeneca: Dr Adham Baba

Data klinikal menjurus kepada kebaikan berbanding kemudaratan

PUTRAJAYA,  24 Syaaban 1442H, Selasa  – Malaysia akan meneruskan penggunaan vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan majlis tandatangan Nota Kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM) dengan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini, Dr Adham berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) hari ini.

“Penggunaan vaksin AstraZeneca akan diteruskan kerana data klinikal yang didapati masih menjurus kepada kebaikan berbanding kemudaratan,” katanya serta menambah bahawa KKM mengambil maklum elemen kesan ‘adverse’ dan kes melibatkan thrombocytopenia yang dilaporkan.

Menurut laporan media, tujuh daripada 30 penerima vaksin jenis AstraZeneca di United Kingdom meninggal dunia.

Pengawal selia kesihatan Britain dilaporkan sedang menimbangkan saranan untuk menyekat penggunaan vaksin jenis AstraZeneca dalam kalangan orang yang lebih muda berikutan kebimbangan tentang kes darah beku yang jarang berlaku.

Pada 2 April lepas, KKM telah memberi kelulusan pendaftaran bersyarat kepada vaksin AstraZeneca jenis cecair suntikan yang dibekalkan melalui kemudahan COVAX oleh pengilang SK Bioscience Co Limited, Korea Selatan.

Dr Adham berkata, Malaysia juga akan membuat pemerolehan 10 peratus vaksin jenis AstraZeneca dari Thailand secara pembelian terus. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button