Berita Utama

Bincang hal berkaitan PRU15 dalam mesyuarat Kabinet Rabu ini

Belum adakan pertemuan dengan Top Five UMNO

PUTRAJAYA, 23 Safar 1444H, Isnin – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet pada Rabu ini, selain perkembangan ekonomi negara.

Beliau berkata, memandangkan Rabu ini terdapat Mesyuarat Kabinet sebelum beliau berlepas ke New York, Amerika Syarikat bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), mungkin perbincangan berkaitan PRU15 itu dengan Kabinet boleh diadakan terlebih dahulu sebelum pertemuan “Top Five” UMNO bagi membincangkan perihal PRU15.

Ismail Sabri berkata, Mesyuarat Kabinet mempunyai wakil pelbagai parti termasuk UMNO, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Bersatu bagi membolehkan hal berkaitan PRU15 dibincangkan.

“Kabinet ada wakil parti Bersatu, GPS dan UMNO, kita akan bawa (hal PRU) dalam (mesyuarat) Kabinet,” katanya ketika ditanya media adakah perkara berkaitan PRU akan dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet, selepas melancarkan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 di sini hari ini.

Mengikut Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan itu.

Ismail Sabri berkata, beliau masih belum mengadakan pertemuan dengan Top Five UMNO bagi membincangkan hal berkaitan PRU15.

“Dari segi PRU, waktu perhimpunan Barisan Nasional saya ada sebut PRU akan diadakan dalam waktu terdekat… beri masa dan tunggulah sehingga saya jumpa Top Five dan Presiden UMNO,” katanya.

Top Five merujuk kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri.

Ditanya bila pertemuan dengan Top Five akan dilakukan, Ismail Sabri berkata, kebiasaanya pertemuan itu akan dibuat sebelum Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 30 Sept ini.

“Biasanya kalau MT malam, petang itu Top Five dan biro politik sekali tetapi saya belum dapat tarikh lagi tetapi MT telah ada tarikh iaitu 30 Sept malam. Mungkin petang itu kita (Top Five) akan bincang,” katanya.

Sabtu lepas, Ismail Sabri pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN berkata tarikh pembubaran parlimen akan diumumkan tidak lama lagi, untuk memberi laluan kepada PRU15.

Mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta PRU diadakan segera jika Perdana Menteri gagal menguruskan ekonomi negara, Ismail Sabri berkata, kerajaan mempunyai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk menjaga hal ehwal ekonomi.

“Dari segi ekonomi, Mustapa ada dengan saya yang uruskan ekonomi, kita juga ada Majlis Pemulihan Negara (MPN) dipengerusikan Muhyiddin. Jadi tanggungjawab ini tanggungjawab bersama… kalau gagal bermakna semua gagal… MPN pun gagal,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin dalam catatan di Facebook miliknya berkata jika Ismail Sabri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan supaya sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button