Berita Utama

Sokongan terhadap Muhyiddin mungkin merosot, tetapi lebih banyak dari Anwar, Tun M

Pembangkang diminta tak timbulkan kecelaruan politik jika terbukti PM punyai sokongan cukup

BANGI, 22 Zulhijjah 1442H, Ahad – Tidak ada mana-mana pemimpin, termasuklah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dapat membuktikan sokongan yang mencukupi untuk dilantik sebagai Perdana Menteri baharu. 

Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, walaupun sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin telah menyusut, namun beliau dianggap pemimpin yang memiliki sokongan terbesar di Parlimen. 

Pun begitu, beliau menegaskan, dalam hal ini, Perdana Menteri dan kerajaan perlu telus dan berani. 

“Usah berselindung di sebalik prosedur Parlimen, Proklamasi Darurat atau Istana untuk mengelakkan dari ujian terhadap tahap kepercayaan di Parlimen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Dr Fathi berkata, pembangkang juga perlu bersikap lebih bertanggungjawab dengan tidak menimbulkan kecelaruan politik melalui kekecohan di Parlimen atau menjadi dalang perhimpunan jalanan. 

Tegasnya, tumpuan seharusnya bukan sekadar untuk membuktikan bahawa kerajaan sedia ada hilang kepercayaan, tetapi juga untuk membuktikan bahawa calon Perdana Menteri iaitu Anwar benar-benar cukup majoriti untuk mengambil alih pemerintahan.

“Jika usul itu diluluskan, maka terbukti ada calon lain yang lebih berhak menjadi Perdana Menteri di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri sedia ada perlu meletakkan jawatan. 

“Namun, jika usul itu tidak mendapat sokongan majoriti, maka Muhyiddin perlu kekal sebagai Perdana Menteri, dan segala pertikaian berkaitan keabsahan kerajaan perlu dihentikan,” jelasnya.

Jika dapat dibuktikan demikian, Dr Fathi berkata, parti-parti pembangkang sewajarnya menghentikan permainan politik dan cubaan menjatuhkan kerajaan sekurang-kurang dalam tempoh empat bulan, iaitu sehingga wujud situasi selamat untuk mengadakan pilihan raya umum. 

“Inilah bentuk penyelesaian yang seimbang, adil, demokratik dan pantas bagi meredakan pertembungan politik negara. 

“Adalah diharapkan agar semua pihak memiliki jiwa yang besar untuk merungkaikan kemelut yang berlaku ini demi untuk kebaikan rakyat dan negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button