Pendapat

Usul undi tidak percaya belum tentu selesaikan masalah?

Semua pihak diharap miliki jiwa besar merungkai kemelut melanda

PAKSI utama kepada konflik ini ialah soal keabsahan kerajaan iaitu persoalan sama ada kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sekarang benar-benar mempunyai cukup kepercayaan di Dewan Rakyat untuk memerintah negara. Jika permasalahan ini diselesaikan, isu hubungan istana – Kabinet, fungsi Parlimen dalam amalan demokrasi dan pengisytiharan darurat dapat diselesaikan dengan mudah.

Kebiasaannya soal keabsahan kerajaan diselesaikan dengan menguji tahap kepercayaan terhadap Perdana Menteri melalui usul tidak percaya atau usul percaya di Dewan Rakyat.

Namun dalam realiti wabak COVID-19 kini, kaedah usul tidak percaya atau usul percaya belum tentu dapat menyelesaikan masalah, bahkan mungkin membuka ruang masalah yang lebih besar, terutamanya jika kerajaan sedia ada jatuh dan pembangkang tidak mampu membentuk kerajaan yang lebih stabil.

Perlembagaan menetapkan bahawa jika seorang Perdana Menteri hilang kepercayaan di Parlimen, maka dia perlu meletakkan jawatan bagi memberikan laluan kepada lantikan seorang Perdana Menteri baharu. Pilihan yang lain ialah, YDPA boleh membubarkan Parlimen jika terdapat permintaan dari Perdana Menteri yang hilang sokongan itu.

Masalah yang berlaku kini ialah, jika berlaku demikian, tidak ada mana-mana pemimpin, termasuklah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dapat membuktikan sokongan yang mencukupi untuk dilantik sebagai Perdana Menteri baru. Walau pun sokongan Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin telah menyusut, namun beliau dianggap pemimpin yang memiliki sokongan terbesar di Parlimen.

Namun dalam hal ini, Perdana Menteri dan kerajaan perlu telus dan berani. Usah berselindung di sebalik prosedur Parlimen, Proklamasi Darurat atau istana untuk mengelakkan dari ujian terhadap tahap kepercayaan di Parlimen.

Dalam masa yang sama, pembangkang juga perlu lebih bertanggungjawab. Tidak perlu menimbulkan kecelaruan politik melalui kekecohan di Parlimen atau menjadi dalang perhimpunan jalanan. Tumpuan seharusnya bukan sekadar untuk membuktikan bahawa kerajaan sedia ada hilang kepercayaan, tetapi juga untuk membuktikan bahawa calon Perdana Menteri iaitu Anwar benar-benar cukup majoriti untuk mengambilalih pemerintahan.

Jika usul itu diluluskan, maka terbukti ada calon lain yang lebih berhak menjadi Perdana Menteri di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri sedia ada perlu meletakkan jawatan.

Namun, jika usul itu tidak mendapat sokongan majoriti, maka Muhyiddin perlu kekal sebagai Perdana Menteri, dan segala pertikaian berkaitan keabsahan kerajaan perlu dihentikan. Bahkan parti-parti pembangkang juga sewajarnya menghentikan permainan politik dan cubaan menjatuhkan kerajaan sekurang-kurang dalam tempoh empat bulan, iaitu sehingga wujud situasi selamat untuk mengadakan pilihan raya umum.

Inilah bentuk penyelesaian yang seimbang, adil, demokratik dan pantas bagi meredakan pertembungan politik negara. Adalah diharapkan agar semua pihak memiliki jiwa yang besar untuk merungkaikan kemelut yang berlaku ini demi untuk kebaikan rakyat dan negara.

Dr Muhammad Fathi Yusof
Penganalisis politik

Contoh usul:

Usul ini boleh dinamakan sebagai ‘Usul Untuk Menilai Kepercayaan Terhadap Calon Perdana Menteri’. Cadangan teks usul berkenaan adalah seperti berikut: “Bahawa Dewan ini memberi kebenaran kepada Ahli Yang Berhormat bagi kawasan … untuk mencadangkan suatu usul iaitu menurut Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3), dalam Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Ketua Pembangkang sebagai Ahli Yang Berhormat Port Dickson mempunyai keyakinan majoriti Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.”

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button