Anak muda jangan pendek akal sampai diperguna pemimpin berkepentingan politik
Anwar, pimpinan PH tak patut ambil kesempatan atas kesusahan kerajaan hari ini

BANGI, 23 Zulhijjah 1442H, Isnin – Golongan anak muda perlu lebih matang dan tidak bersikap pendek akal dalam membuat keputusan, bagi mengelakkan diri terus dipergunakan pemimpin yang berkepentingan.
Ini kerana, kekecohan yang tercetus dalam perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ pada Sabtu lalu, mungkin akan berulang dan menjadi cerminan kepada masyarakat dunia terhadap nilai serta jati diri golongan muda di Malaysia.
Ketua Pemuda BERJASA, Ustaz Fahmi Bazlan Muda percaya, sikap biadab yang ditonjolkan kebanyakan peserta perhimpunan itu adalah tercetus daripada keadaan terdesak sesetengah pihak yang mempunyai kepentingan politik.
“Kalau kita perasan ada slogan ‘kerajaan gagal’, slogan ini telah mula diangkat oleh Pakatan Harapan.
“Kita boleh lihat di media sosial #kerajaangagal telah menjadi trending dan diguna pakai oleh anak-anak muda dalam memberikan respon terhadap prestasi kerajaan yang memperkenalkan banyak SOP baru yang ketat dan program pemulihan negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.
Beliau tidak menolak kemungkinan kesempatan itu digunakan oleh PH, khususnya golongan muda dan reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim membentuk gelombang baharu dengan niat menjatuhkan kerajaan sedia ada.
“Buktinya, sebelum kejadian, saya juga mendapat info dan maklumat mengenai perhimpunan besar-besaran akan diadakan di Dataran Merdeka pada Sabtu dan Ahad.
“Jadi, saya ingin menegaskan bahawa tindakan sebegini mesti diambil tindakan tegas daripada pihak berkuasa supaya program yang dirancang ini tidak berlaku demi keselamatan dan seluruh rakyat yang masih mematuhi SOP melawan penularan COVID-19,” katanya.
Pada masa sama, Ustaz Fahmi turut menggesa Anwar dan pimpinan PH supaya tidak mengambil kesempatan di atas kesusahan dihadapi kerajaan hari ini, sebaliknya memberi sokongan moral terhadap Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Sabtu lalu, dianggarkan seramai 450 orang menyertai perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ dipercayai bagi mendesak Perdana Menteri dan barisan Kabinetnya meletakkan jawatan.
Mereka berhimpun berdekatan Dataran Merdeka sambil membawa bendera hitam, sepanduk protes dan replika menyerupai jenazah.