Indonesia lanjut sekatan di luar pulau Jawa
Tutup pusat beli-belah, sektor tak penting kerja dari rumah
JAKARTA, 23 Zulhijjah 1442H, Isnin – Indonesia melanjutkan sekatan di luar pulau Jawa untuk tempoh seminggu lagi dalam usaha mengawal penularan wabak COVID-19.
Sekatan tahap tertinggi dilanjutkan hingga 9 Ogos untuk wilayah di luar pulau Jawa yang dikategorikan sebagai kawasan ‘Tahap 4’ atau mempunyai kes jangkitan dan kadar penggunaan katil hospital tertinggi.
Pekerja di sektor tidak penting masih tertakluk dengan arahan untuk bekerja dari rumah dan pusat membeli-belah kekal ditutup.
Keputusan sama ada kawasan itu berkemungkinan berdepan lanjutan sekatan lebih panjang akan diumumkan pada hari ini, kata pegawai, Safrizal ZA.
Indonesia berdepan lonjakan kes jangkitan terburuk di Asia dengan jumlah kes keseluruhan mencecah 3.44 juta pada Ahad dan lebih 95,000 kematian.
Kerajaan memperketatkan kawalan mobiliti di negara itu sejak Julai lalu ekoran peningkatan kes jangkitan yang berpunca daripada varian paling dominan, Delta.- Agensi