Berita Utama

Tangkap semua, dakwa di mahkamah

Ambil tindakan sama seperti mana kes rakyat langgar SOP sebelum ini

BANGI, 23 Zulhijjah 1442H, Isnin – Sebagai pemimpin rakyat dan negara, kenapa tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan.

Demikian persoalan dilontarkan Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Ustaz Masridzi Sat berikutan perarakan pembangkang di Dataran Merdeka pagi tadi.

Terdahulu, bagi menyuarakan bantahan susulan penangguhan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, puluhan Ahli Parlimen pembangkang berarak menuju Parlimen.

Perarakan bermula dari Dataran Merdeka selepas ucapan ringkas dibuat presiden beberapa parti pembangkang.

Bagaimanapun cubaan beberapa Ahli Parlimen untuk masuk ke laluan menuju Parlimen menerusi Bulatan Bank Negara dihalang polis Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Kesal dengan kejadian terbabit, Ustaz Masridzi menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sama ke atas pihak berkenaan seperti mana yang telah dilakukan terhadap rakyat yang melanggar SOP sebelum ini.

Beliau merujuk kepada isu polis menahan reman 49 lelaki bagi membantu siasatan kes pelanggaran SOP kerana menjalankan solat sunat Aidiladha melebihi jumlah yang dibenarkan, di atas jalan berhampiran Surau Taman Pelangi, Juru.

“Dulu tegas sangat SOP sampai tahan, gari, dakwa, kompaun umat Islam yang sujud kepada Allah SWT di surau dan masjid.

“Saya dah ingatkan dulu jangan buat melampau kepada orang yang menyembah Allah SWT. Sekarang dah Allah SWT zahirkan himpunan yang jauh lebih besar dan ramai di Dataran Merdeka ini.

“Tangkaplah semuanya, gari dan dakwalah ke mahkamah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button