Uncategorized

Pemandu bas bawa pesakit terbabas disahkan positif COVID-19

Ujian air kencing pula mendapati lelaki itu negatif dadah

KUALA LUMPUR, 16 Rejab 1442H, Ahad – Pemandu bas yang membawa 40 pesakit COVID-19 dan terbabit dalam kemalangan di Plaza Tol UPM, Serdang petang semalam turut disahkan positif virus itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Superintenden Azman Shari’at berkata pemandu berusia 41 tahun yang cedera di kaki sebelum itu dihantar ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan dan disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian calitan.

Ujian saringan air kencing pula mendapati lelaki itu negatif dadah namun siasatan masih diteruskan.

“Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, bas yang membawa 40 penumpang hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong Touch ‘n Go sebelum merempuh pondok tol tersebut.

“Kemalangan dipercayai berpunca akibat kegagalan sistem brek bas tersebut, berdasarkan kenyataan daripada pemandu bas itu,” katanya kepada Bernama.

Kenderaan itu antara 11 bas dalam konvoi membawa 431 pesakit COVID-19 dari Kluster Changkat Jong di Perak yang dalam perjalanan dari Teluk Intan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) MAEPS 2.0 di Selangor.

Kesemua penumpang, termasuk lapan yang cedera, dibawa ke PKRC MAEPS 2.0 untuk menerima rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button