Dunia

Korea Selatan kesan 2 kes pertama varian Delta Plus

Kes pertama babit lelaki 40-an tanpa ada sejarah perjalanan

SEOUL, 24 Zulhijjah 1442H, Selasa – Korea Selatan mengesan dua kes pertama varian baharu COVID-19 dikenali sebagai Delta Plus, menurut Badan Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) hari ini. 

Delta Plus adalah sub-keturunan varian Delta pertama yang dikenal pasti di India, dan memperoleh mutasi spike protein yang disebut K417N – juga didapati dalam varian Beta pertama dikenal pasti di Afrika Selatan. 

“Kes pertama (di Korea Selatan) dikenal pasti ke atas seorang lelaki berusia 40-an yang tiada sejarah perjalanan baru-baru ini,” kata KDCA yang masih menyiasat punca jangkitan. 

Hasil saringan ke atas kira-kira 280 kontak rapat lelaki terbabit mendapati hanya anaknya sahaja disahkan positif, kata pegawai KDCA, Park Young-joon. 

Park berkata, setakat ini pihaknya masih belum mendapat keputusan sama ada anak lelaki terbabit turut dijangkiti varian sama. 

Sementara itu, kes kedua pula membabitkan seorang pengembara yang pulang dari Amerika Syarikat (AS). 

Individu terbabit telah mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca sebelum melakukan perjalanan. 

Pihak berkuasa kesihatan sebelum ini memaklumkan beberapa vaksin berfungsi terhadap varian Delta yang mudah menular, namun strain baharu ini menimbulkan kebimbangan sama ada ia masih mampu bertindak balas dengan baik. 

Beberapa saintis mengatakan varian Delta Plus mungkin lebih mudah merebak. 

Kajian juga sedang dijalankan di India dan global untuk menguji keberkesanan vaksin terhadap mutasi berkenaan. 

Setakat ini, beberapa negara termasuk Britain, Portugal dan India telah melaporkan beberapa kes daripada varian Delta Plus. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button